BELURAN: Tiga lokasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan rokok dan minuman keras tidak bercukai diserbu dalam Operasi Bersepadu Daerah Beluran yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), semalam.
Operasi selama dua hari itu turut membawa kepada rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai dengan anggaran nilai termasuk duti berjumlah RM114,194.53.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi berkenaan turut merekodkan keseluruhan tindakan penguatkuasaan dan rampasan bernilai RM407,644.69.
Katanya, nilai berkenaan merangkumi tindakan penguatkuasaan berjumlah RM293,450.16 serta rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM114,194.53.
“Sebanyak 70 premis perniagaan dan 170 kenderaan diperiksa sepanjang operasi, termasuk tiga lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai.
“Semua barang rampasan telah dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi yang membabitkan 184 pegawai dan anggota itu diselaraskan ESSCOM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta beberapa agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Victor berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah turut merekodkan tindakan penguatkuasaan bernilai RM207,100.16 menerusi enam kompaun berjumlah RM159,000, empat notis pematuhan dan arahan pembayaran tunggakan berjumlah RM48,100.16.
Katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM30,000 serta tujuh notis pematuhan.
“KWSP memeriksa 14 majikan, mengeluarkan lima notis pemeriksaan dan mengenal pasti lima kes untuk siasatan lanjut.
“JPJ pula memeriksa 170 kenderaan dan mengeluarkan 37 saman bernilai RM6,250, manakala Majlis Daerah Beluran mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM100,” katanya.
Dalam operasi sama, JIM memeriksa 56 individu dan tidak mengesan sebarang kesalahan imigresen, manakala JPN memeriksa dokumen 15 individu dan mendapati semuanya tulen serta sah.
Menurut Victor, operasi berkenaan bertujuan memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi serta keberadaan pendatang asing tanpa izin.
Beliau berkata, operasi bersepadu akan terus dipertingkatkan di daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan ketirisan hasil kerajaan.
“ESSCOM menyeru masyarakat supaya terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072,” katanya.
