JAKARTA – Menjadi rutin buat lebih 100 wanita di Kalimantan, Indonesia untuk menguruskan rumah tangga pada sebelah pagi sebelum turun ke lapangan untuk beberapa jam bagi memadamkan kebakaran hutan yang melanda wilayah tersebut.
Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi menangani kebakaran hutan yang menjejaskan kesihatan komuniti, selain terpaksa berdepan stigma masyarakat setempat.
Sebahagian besarnya merupakan suri rumah, dan mereka adalah ahli sukarelawan kepada sebuah inisiatif yang dinamakan ‘Power of Mama’.
Mereka meronda setiap hari untuk mengesan asap dan api serta bertindak memadamkan kebakaran apabila diperlukan.
Ditubuhkan pada tahun 2022, pergerakan sukarelawan itu kini bertapak di lebih 12 buah kampung sekitar wilayah Ketapang di Kalimantan Barat.
Di kawasan pedalaman berkenaan, peranan jantina tradisional secara tegar menetapkan wanita hanya bertanggungjawab dalam urusan penjagaan anak, memasak, dan mengemas rumah, manakala tugas memadamkan kebakaran dianggap tugas kaum lelaki.
Mereka bergerak menaiki motosikal dan sebahagian lagi menaiki trak pikap yang dilengkapi pam air serta baldi untuk memadam kebakaran.
Sut perlindungan jingga, but getah, dan topi keledar keselamatan yang dipakai di atas hijab menjadi pakaian rasmi mereka, manakala pelitup muka menjadi satu-satunya perisai daripada asap beracun sepanjang operasi yang memakan masa berjam-jam.
Kredit sumber: AFP/Kosmo! Online
