TAWAU: Seorang bapa kepada enam anak dijatuhi hukuman penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang didakwa merogol anak perempuannya.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Yohanes Kopong Jawan, 34, dan memerintahkan dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, Yohanes didakwa menyebabkan kematian jirannya, Martin Sili, 33, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Cina Ranggu, di sini, antara jam 7.30 malam 31 Ogos 2024 hingga tengah hari 1 September 2024.
Tertuduh pada awalnya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, namun pertuduhan itu kemudian digantikan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama.
Mengikut fakta kes, kejadian tercetus selepas anak perempuan tertuduh yang ketika itu berusia 12 tahun memberitahu ibunya bahawa mangsa telah merogolnya di kawasan semak ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mengetahui perkara itu, tertuduh berang sebelum mengambil sebilah parang dan mengejar mangsa.
Tertuduh kemudian melibas mangsa beberapa kali selepas lelaki itu didakwa enggan mengakui perbuatan berkenaan.
Dalam pada itu, anak tertuduh dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan selepas kejadian.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat koyakan baharu pada bahagian sulitnya.
Pemeriksaan forensik turut menemukan DNA mangsa pada kuku anak tertuduh, manakala air mani yang ditemui pada seluar dalamnya sepadan dengan DNA mangsa.
Tertuduh diwakili peguam Jhasarry P Kang, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif.
