KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa kerajaan mengambil langkah segera memperkukuh insentif dan keadaan perkhidmatan bagi memastikan lebih ramai pegawai perubatan bersedia berkhidmat di Sabah.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, berdasarkan maklumat yang diterima MMA Sabah, hanya 47 daripada 138 pegawai perubatan dari luar Sabah yang dijadualkan ditempatkan di hospital seluruh negeri dilaporkan hadir bertugas, iaitu kira-kira 34 peratus.
Katanya, angka berkenaan hanya membabitkan penempatan di hospital dan tidak termasuk pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah serta klinik kesihatan kerajaan.
“MMA Sabah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerbitkan dan mengesahkan angka pelaporan lengkap bagi seluruh Sabah supaya keadaan sebenar dapat dinilai dengan tepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, maklum balas diterima pihaknya turut menunjukkan beberapa jabatan terpaksa menyusun jadual tugas panggilan dengan lebih kerap berikutan kekangan tenaga kerja.
“Keadaan ini memberi kesan kepada beban tugas pegawai perubatan yang masih bertugas dan jika berlarutan boleh menjejaskan kesejahteraan petugas serta keupayaan mengekalkan perkhidmatan secara selamat,” katanya.
Sehubungan itu, MMA Sabah menyokong gesaan Presiden MMA, Dr Sivanaesan Letchumanan, supaya kerajaan menambah baik insentif bagi doktor yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berdasarkan peratusan seperti sebelum ini, menyediakan insentif khusus untuk perkhidmatan di Malaysia Timur serta menambah baik bantuan perpindahan.
MMA Sabah turut menggesa supaya doktor diberikan kepastian mengenai tempoh penempatan di Sabah dan Sarawak, selain penambahbaikan kuarters, kemudahan asas serta peluang latihan dan pembangunan kerjaya.
Dalam pada itu, Dr Brandon berkata, kerajaan negeri Sabah juga boleh memainkan peranan bagi menjadikan negeri itu lebih menarik kepada tenaga perubatan.
Katanya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk memperbaiki dan menambah kuarters kakitangan, menyediakan sokongan pengangkutan serta mempertingkat kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan internet terutama di kawasan luar bandar.
“Perumahan untuk petugas kesihatan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur kesihatan, bukan sekadar kemudahan kebajikan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri memperkukuh biasiswa dan bantuan kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan serta latihan kepakaran, di samping menyediakan laluan pembangunan profesional bagi menggalakkan mereka kembali berkhidmat di negeri ini.
MMA Sabah juga mencadangkan platform kerjasama lebih tersusun antara kerajaan negeri, KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan pihak berkepentingan bagi memantau keperluan tenaga kerja serta mengenal pasti fasiliti yang memerlukan intervensi segera.
Dr Brandon berkata, pelantikan tetap merupakan antara faktor penting dalam kerjaya doktor, namun aspek sokongan tempat kerja, kehidupan dan peluang perkembangan profesional turut perlu diberi perhatian.
“Sabah memerlukan doktor yang berada di lapangan, mendapat sokongan mencukupi, bekerja dalam keadaan selamat dan munasabah serta mempunyai peluang untuk berkembang dalam kerjaya.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bergerak bersama supaya isu penempatan dan pengekalan doktor dapat ditangani secara lebih menyeluruh,” katanya.
