SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Kampung Mentelitip Pegagau, Jalan Semporna-Tawau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Kassim Anuar, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 7.22 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.45 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dengan motosikal.
“Terdapat tiga mangsa dalam kemalangan berkenaan, dengan seorang disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, seorang lagi mangsa, Nurhayati Muhamad, 36, mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan awal daripada pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital.
“Seorang lagi mangsa, Ajang Ali Baradun, 54, selamat.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.16 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.
