KOTA KINABALU: Peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 dilihat mampu memperkukuh pembangunan sektor pelancongan negeri itu menjelang kempen Visit Sabah 2027.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, peningkatan peruntukan berbanding RM17.6 bilion tahun ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri.
Beliau berkata, peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan di peringkat nasional turut membuka ruang kepada Sabah untuk mempergiat promosi destinasi, membangunkan produk pelancongan serta memelihara warisan budaya.
“Sabah menyambut baik penekanan yang diberikan kepada sektor pelancongan, khususnya usaha meningkatkan kemudahan, memperkukuh promosi serta memperluas jaringan penerbangan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, usaha berkenaan penting untuk meningkatkan ketibaan pelancong, menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang dan memastikan manfaat ekonomi sektor itu dapat dinikmati lebih ramai rakyat Sabah.
Jafry berkata, geran padanan bagi penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas juga berpotensi memperluas hubungan udara Sabah dengan pasaran utama termasuk China, India, Asia Tengah dan Eropah.
Katanya, jaringan penerbangan yang lebih baik bukan sahaja dapat meningkatkan daya tarikan Sabah dalam kalangan pelancong antarabangsa, malah membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha industri pelancongan tempatan.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik perhatian terhadap Lembah Danum yang dikenal pasti sebagai antara tapak warisan berpotensi untuk penambahbaikan kemudahan dan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar mesti bergerak seiring. Khazanah biodiversiti Sabah adalah aset tidak ternilai dan perlu terus dilindungi menerusi pembangunan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penambahbaikan jalan raya dan kemudahan asas penting bagi memudahkan akses pelancong ke destinasi luar bandar, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Katanya, matlamat Sabah bukan sekadar menarik lebih ramai pelancong, tetapi juga menggalakkan mereka meneroka lebih banyak destinasi, tinggal lebih lama dan berbelanja di negeri ini supaya manfaatnya dapat dirasai penduduk tempatan.-Dakwat Rakyat Post
