LABUAN: Tiga lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan minuman beralkohol melarikan diri ke kawasan paya bakau bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di Sungai Melikai, Menumbok, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu, pihak berkuasa merampas 600 karton minuman beralkohol pelbagai jenama bernilai RM270,000, selain sebuah bot kargo dan dua lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan membawa barangan disyaki tidak berkastam dari perairan Labuan ke tanah besar Sabah.
Menurutnya, bot operasi Penggalang 24 yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah bot kargo dinaiki tiga individu bergerak dari perairan Pulau Labuan menuju ke Menumbok.
“Pasukan operasi kemudian mengekori bot berkenaan sebelum mengesannya merapat di sebuah lokasi pendaratan yang disyaki tidak sah di Jeti Sungai Kampung Melikai.
“Serbuan di kawasan darat dilaksanakan dengan bantuan anggota pasukan bot, namun ketiga-tiga individu terbabit melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek bagaimanapun tidak berhasil berikutan keadaan cuaca dan bentuk muka bumi yang menyukarkan operasi.
Pemeriksaan di lokasi menemukan kira-kira 200 karton minuman beralkohol di dalam bot kargo, manakala dua lori yang turut diperiksa membawa kira-kira 400 karton minuman beralkohol pelbagai jenama.
Izwanhadi berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM270,000.
Semua barang kes disita mengikut Akta Kastam 1967 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya penghantaran barangan tidak berkastam melalui laluan laut.
Orang ramai, terutama komuniti maritim, turut digesa menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah maritim.-Dakwat Rakyat Post
