KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di kawasan Perindustrian Nounton, Inanam, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa bersama dua lelaki lain dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Lorong Langsat, Jalan Inanam, sebelum orang awam menyalurkan maklumat kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Balai Polis Inanam digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira jam 4.10 pagi.
Menurutnya, anggota polis mengesan tiga lelaki berada di tepi jalan berhampiran sebuah premis perniagaan, namun mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Seorang daripada mereka melarikan diri ke dalam kawasan premis berpagar, manakala dua lagi memanjat bumbung zink sebuah bangunan berhampiran.
“Ketika cuba melarikan diri melalui kawasan bumbung berkenaan, seorang daripada lelaki terbabit dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum ditemukan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mengesahkan kematian mangsa pada jam 7.40 pagi.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada tangan kanan dan paha kanan mangsa yang dipercayai berkaitan dengan renjatan elektrik.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan lain atau petunjuk awal yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah berkaitan kematian mangsa.
“Bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Shahrudin berkata, dua lagi lelaki yang melarikan diri berjaya ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Inanam untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kronologi serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih dijalankan.-Dakwat Rakyat Post
