KOTA KINABALU: Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua ahlinya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini bagi membantu meringankan beban mereka membersihkan kediaman.
Penerima sumbangan ialah Winston Bewsher dari Tuunon Kolopis, Penampang dan Michelle Bulo dari Taman Sri Kiansom, Inanam.
Sumbangan disampaikan Setiausaha Agung SAFVA, Jade Morris, dalam majlis ringkas di pawagam Growball, di sini, selepas tayangan filem Mr Finance yang merupakan karya sulung arahannya.
Jade berkata, SAFVA akan terus memberi perhatian kepada kebajikan ahli selain mengadakan aktiviti pengumpulan dana bagi membolehkan lebih banyak bengkel dan seminar peningkatan kemahiran dianjurkan untuk memperkasakan penggiat industri filem Sabah.
Beliau turut menghargai usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam memperkukuh perlindungan dan kebajikan kru produksi bagi memastikan kesejahteraan tenaga kerja dalam industri perfileman terus diberi perhatian.
Mengulas harapan terhadap Belanjawan 2027 bagi industri kreatif, Jade berharap Sabah terus mendapat perhatian kerajaan menerusi peruntukan lebih besar, seiring perkembangan dan peningkatan aktiviti penerbitan filem di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengajak orang ramai menyokong filem Mr Finance yang diterbitkan menggunakan dana sendiri dan kini ditayangkan di 35 pawagam di seluruh negara.
Katanya, sokongan penonton amat penting bagi memastikan filem berkenaan terus bertahan di pawagam melebihi dua minggu, sekali gus membuka ruang kepada karya tempatan, khususnya hasil anak Sabah, untuk berkembang dalam industri perfileman negara.
Filem Mr Finance mengangkat kisah cinta yang menyentuh hati dengan mengetengahkan kehidupan seorang gadis autisme serta cabaran yang dihadapinya dalam membina hubungan dengan orang di sekeliling.
Menerusi penceritaan itu, filem berkenaan turut membawa mesej mengenai penerimaan, empati dan pemahaman terhadap individu autisme, selain menonjolkan nilai kemanusiaan dalam hubungan sesama insan.-Dakwat Rakyat Post
