RANAU: Komuniti Bundu Tuhan mengemukakan aduan rasmi kepada Mahkamah Anak Negeri Ranau bagi menuntut siasatan terhadap dakwaan kemasukan tanpa kebenaran ke kawasan suci Gunung Kinabalu, Gayongaran, serta kemungkinan pelanggaran adat masyarakat Kadazandusun.
Pengerusi Pertubuhan Tradisi Kesusteraan Kampung Bundu Tuhan (ITISUNDU) merangkap Mosinggu Warisan dan Kebudayaan Bundu Tuhan, Adrian Soidi, berkata aduan itu bertujuan memastikan kedudukan dan pengetahuan adat komuniti yang mempunyai hubungan warisan dengan gunung berkenaan diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu pendakian, sebaliknya turut melibatkan penghormatan terhadap adat, pantang larang dan kawasan yang mempunyai kepentingan spiritual kepada masyarakat asal.
Menurutnya, komuniti berkenaan menerima maklumat pada 9 September lalu mengenai seorang individu yang dikenal pasti sebagai Mauro Persic, yang dipercayai memasuki kawasan pergunungan Gunung Kinabalu.
Katanya, perkongsian terbuka di Facebook pada 13 September lalu turut dikatakan menunjukkan individu berkenaan berada di kawasan pergunungan itu selama kira-kira lapan hari, termasuk lokasi yang dikenal pasti sebagai Red Rocks Peak, Mesilau Peak dan Phallus Peak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aduan itu dikemukakan bagi membolehkan fakta kejadian, status permit serta kemungkinan pelanggaran adat disiasat melalui saluran rasmi.
Adrian berkata, berdasarkan pengetahuan adat yang diwarisi komuniti berkenaan, Bundu Tuhan dan Kiau mempunyai hubungan adat khusus dengan Gayongaran, termasuk berkaitan pelaksanaan upacara Monolob.
“Bagi kami, Gunung Kinabalu bukan sekadar gunung, destinasi pelancongan atau kawasan pendakian. Ia mempunyai hubungan mendalam dengan sejarah, identiti, adat, ingatan leluhur dan kehidupan spiritual kami,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, komuniti itu turut membangkitkan kebimbangan terhadap penyebaran gambar, video dan maklumat lokasi sensitif yang berpotensi mendedahkan laluan masuk ke kawasan berkenaan.
Menurutnya, perkongsian maklumat sedemikian boleh meningkatkan risiko kemasukan tanpa kebenaran, menggalakkan penerokaan kawasan sensitif serta menjejaskan usaha komuniti memelihara warisan adat.
Sehubungan itu, Adrian menggariskan enam tuntutan utama menerusi aduan berkenaan, termasuk siasatan rasmi, pengiktirafan kedudukan dan keterangan adat komuniti Bundu Tuhan serta pengesahan status permit dan akses ke kawasan berkenaan.
Komuniti itu turut memohon supaya perlindungan maklumat lokasi sensitif diberikan perhatian, tindakan adat dipertimbangkan sekiranya pelanggaran dibuktikan dalam bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri, serta mekanisme perlindungan jangka panjang diwujudkan bagi kawasan yang mempunyai kepentingan adat.
Selain itu, mereka mencadangkan mekanisme rujukan bersama komuniti adat, termasuk persetujuan komuniti bagi aktiviti tertentu di kawasan sensitif, selain memperjelas batas kemasukan dan meningkatkan pendidikan mengenai adat Gunung Kinabalu.
Adrian berkata, hukum adat termasuk sogit bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya berperanan memulihkan keseimbangan dan keharmonian apabila berlaku pelanggaran adat.
“Kami tidak melihat adat sebagai penghalang kepada pembangunan, pelancongan atau penyelidikan. Sebaliknya, adat boleh menjadi asas untuk memastikan semua aktiviti dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab dengan mengambil kira kepentingan masyarakat asal,” katanya.
Beliau berharap Mahkamah Anak Negeri Ranau meneliti aduan itu, memanggil pihak berkaitan jika perlu serta merujuk perkara di luar bidang kuasanya kepada agensi berkenaan.
Katanya, usaha melindungi Gayongaran bukan hanya berkaitan pemeliharaan warisan masa lalu, tetapi juga memastikan generasi akan datang terus mengenali identiti, asal usul dan hubungan masyarakat Kadazandusun dengan tanah serta alam warisan mereka.-Dakwat Rakyat Post
