TAWAU: Peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan menerusi Belanjawan 2027 dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan Sabah, khususnya menjelang kempen Tahun Melawat Sabah 2027.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, peruntukan itu menjadi rangsangan kepada usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Menurutnya, peningkatan kemasukan pelancong bukan sahaja merancakkan industri berkenaan, malah membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ini merupakan satu rangsangan yang baik, terutamanya bagi negeri Sabah kerana tahun hadapan adalah Tahun Melawat Sabah.
“Kita berharap peruntukan ini dapat digunakan sepenuhnya bagi menarik pelancong datang ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Watikah kepada lebih 70 Ahli Jawatankuasa Bahagian Kalabakan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di sini, hari ini.
Dr. Shamsureezal berkata, Sabah kini berada di landasan positif untuk mencapai sasaran empat juta pelawat dan pelancong tahun ini, dengan pertumbuhan sekitar empat peratus.
Katanya, momentum itu diharap dapat diperkukuh menerusi peruntukan berkenaan bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang dan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat setempat.
Dalam perkembangan lain, beliau berpandangan peningkatan had pembelian bebas cukai kepada RM10,000 di Labuan, dengan syarat minimum penginapan selama 48 jam, berpotensi merancakkan ekonomi wilayah berkenaan.
Menurutnya, perkembangan itu juga boleh memberi limpahan manfaat kepada Sabah sebagai negeri jiran.
Bagaimanapun, beliau yakin langkah berkenaan tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke Sabah secara ketara kerana negeri ini mempunyai keunikan serta tarikan pelancongan tersendiri.-Dakwat Rakyat Post
