KEMAMAN: Bagi sesetengah keluarga di Telok Kalong, Convo Fest UC TATI 2026 bukan sekadar sebuah karnival, sebaliknya peluang untuk meluangkan masa bersama anak-anak sambil berehat seketika daripada rutin harian.
Itulah antara tarikan yang mendorong Ahmad Fahmi Zuddin, 32, bersama isterinya, Sharifah Nur Atiyah, membawa dua anak mereka berkunjung ke karnival empat hari itu bagi menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan.
Ahmad Fahmi berkata, tuntutan kerja dan kekangan masa sering menyukarkan mereka mencari aktiviti yang dapat dinikmati bersama seluruh keluarga, sekali gus menjadikan penganjuran karnival itu peluang yang cukup bermakna buat mereka.
“Jarak, masa dan komitmen kerja kadangkala menyukarkan kami mencari aktiviti yang boleh disertai bersama keluarga. Walaupun aktiviti yang disediakan nampak ringkas, kami semua gembira dapat menyertainya. Apa yang paling penting, anak-anak teruja berada di sini,” katanya.
Bagi Sharifah Nur Atiyah yang merupakan suri rumah sepenuh masa, aktiviti yang berlangsung hingga ke petang dan malam turut memudahkan mereka merancang kunjungan mengikut kesesuaian masa keluarga.
“Sebagai suri rumah sepenuh masa, saya lebih selesa datang pada waktu malam apabila keadaan lebih santai berbanding waktu siang yang biasanya dipenuhi urusan menguruskan keluarga,” katanya.
Suasana mesra keluarga itu mencerminkan usaha Kolej Universiti TATI (UC TATI) untuk menjadikan sambutan konvokesyennya lebih dekat dengan masyarakat setempat, khususnya penduduk kampung berhampiran.
Pengarah program, Kamrol Amri Mohamed, berkata penganjuran kali ini membawa pendekatan berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila lebih banyak ruang diberikan kepada penduduk setempat untuk turut serta, dan bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti berkaitan konvokesyen universiti.
“UC TATI sudah bertapak di sini hampir 33 tahun dan kami mengambil peluang sempena majlis konvokesyen ini untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat, terutama penduduk kampung berhampiran,” katanya yang juga Pengurus Jabatan Pengurusan Strategik dan Kualiti universiti itu.
Berlangsung serentak dengan Majlis Konvokesyen UC TATI Ke-26, karnival selama empat hari itu turut menampilkan gerai makanan, produk keluaran tempatan, program keagamaan, sesi motivasi dan aktiviti keusahawanan.
Kamrol berkata, penganjuran itu juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam kalangan golongan muda, khususnya dari kawasan luar bandar, dengan mendekatkan mereka kepada pilihan pengajian dan program akademik yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi.
Seramai 380 graduan menerima kelayakan masing-masing pada Majlis Konvokesyen UC TATI Ke-26 selepas menamatkan pengajian dalam program sarjana dan ijazah sarjana muda meliputi bidang kejuruteraan, sains komputer, reka bentuk grafik dan pengurusan teknologi.
Oleh: Abdul Karim
