Oleh: Abdul Karim
KEMAMAN: Biarpun berdepan kanser otak tahap empat, Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, tetap mahu hadir sendiri ke majlis konvokesyen bagi menerima pengiktirafan atas pengajian yang berjaya diselesaikannya.
Hasrat itu bukan sekadar menjadi impian Afiq, malah membawa ibu bapanya menempuh perjalanan selama dua hari dengan ambulans dari Arau, Perlis, ke Banting, Selangor, sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu.
Afiq yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) di Kolej Universiti TATI (UC TATI) disahkan menghidap kanser otak ketika berada di tahun akhir pengajiannya.
Walaupun keadaan kesihatannya semakin mencabar dan memerlukan sokongan oksigen, beliau berjaya menamatkan pengajian sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Khas Aegrotat pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, 10 Oktober lalu.
Bapanya, Kepten Ts Mohd Hairul Fahmy Yob, pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata keinginan Afiq untuk menghadiri majlis itu sendiri membuatkan keluarga berusaha mencari jalan bagi membolehkannya sampai ke Kemaman.
Menurutnya, mereka pernah mempertimbangkan penerbangan ihsan, namun pilihan itu terpaksa diketepikan selepas mengambil kira nasihat doktor berikutan keadaan kesihatan anaknya.
“Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh. Kami tempuhi perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini kerana keperluan kesihatannya.
“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya, malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat,” katanya.
Keluarga itu kemudian meneruskan perjalanan menggunakan ambulans bagi memastikan keperluan perubatan Afiq dapat dipenuhi sepanjang perjalanan ke Terengganu.
Pada majlis berkenaan, Afiq hadir berkerusi roda bersama kedua-dua ibu bapanya sebelum menerima Anugerah Khas Aegrotat yang disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato’ Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid- DAKWAT RAKYAT POST
