SANDAKAN: Tourism Malaysia Sabah berharap penganjuran Treasure Hunt 2.0 tahun depan dapat diperluas dengan skala lebih besar, termasuk menarik penyertaan dari Semenanjung Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar, berkata sambutan menggalakkan terhadap program Hunt & Explore: Explore Sandakan, Discover Heritage 2026 membuktikan aktiviti pelancongan berasaskan pengalaman berupaya menarik minat orang ramai untuk meneroka keunikan destinasi tempatan.
Beliau berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mengenali tarikan pelancongan secara lebih dekat, malah menjadi platform strategik untuk memperkenalkan kekayaan sejarah, warisan, budaya dan keindahan alam semula jadi Sandakan.
“Melihat kepada sambutan yang begitu positif pada tahun ini, saya berharap agar program ini dapat diteruskan melalui penganjuran Treasure Hunt 2.0 pada tahun hadapan, dengan skala yang lebih besar dan penyertaan yang lebih meluas, termasuk peserta dari Semenanjung Malaysia serta pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala dan Penyampaian Hadiah VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di Dewan Tropicana, Elopura Hotel, di sini, semalam.
Program berkenaan menghimpunkan 124 peserta, termasuk 40 pengamal media dan pempengaruh yang berpeluang meneroka 11 lokasi mercu tanda serta tarikan pelancongan ikonik di Sandakan.
Antara lokasi dikunjungi ialah Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Rainforest Discovery Centre, Masjid Jamek Sandakan, Tangga Seribu, Rumah Agnes Keith, Gereja St Michael and All Angels, Tokong Puh Jih Shih, Pasar Sandakan dan San De Gan Café.
Khairul Amir berkata, setiap lokasi berkenaan mempunyai keunikan tersendiri yang mencerminkan kekayaan warisan, budaya dan alam semula jadi Sandakan, sekali gus menawarkan pengalaman bermakna kepada peserta.
Beliau berkata, penglibatan pengamal media dan pempengaruh turut memainkan peranan penting dalam memperluas capaian promosi pelancongan menerusi perkongsian gambar, video dan kandungan kreatif di pelbagai platform.
Katanya, perkongsian itu diharap dapat meningkatkan keterlihatan Sandakan sebagai destinasi pelancongan pilihan, bukan sahaja dalam kalangan pelancong domestik, malah di peringkat antarabangsa.
“Usaha ini juga diharapkan dapat menyokong kempen Visit Sabah 2027 dan Visit Malaysia 2027, di samping memperkukuh kedudukan Sandakan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan sejarah, warisan, budaya dan keindahan alam semula jadi,” katanya.
Menurutnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemain industri pelancongan, media, pempengaruh dan komuniti setempat perlu terus diperkukuh bagi memastikan promosi destinasi tempatan dapat dilaksanakan secara lebih meluas dan berkesan.
Khairul Amir turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, penaja, peserta serta pasukan penganjur yang menjayakan program berkenaan, sambil berharap inisiatif itu terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan Sabah dan -Dakwat Rakyat Post
