SANDAKAN: Pengamal media dan pempengaruh digital digesa memanfaatkan pengalaman menerokai destinasi pelancongan di Sabah dengan menghasilkan kandungan kreatif, autentik dan berimpak tinggi bagi menarik lebih ramai pelancong.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, peranan media amat penting dalam membentuk persepsi orang ramai serta mempengaruhi keputusan mereka untuk memilih sesuatu destinasi pelancongan.
Beliau berkata, kandungan seperti artikel menarik, foto memukau dan video kreatif mampu memperkenalkan keunikan sesebuah destinasi kepada ribuan malah jutaan orang di seluruh dunia.
“Dalam era digital hari ini, peranan media amat penting dalam membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan seseorang untuk melancong.
“Sebuah artikel yang menarik, sekeping foto yang memukau atau video pendek yang kreatif mampu memperkenalkan sesuatu destinasi kepada ribuan, malah jutaan orang di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala VM2026 Hunt & Explore Media Race 2026 di Dewan Tropicana, Elopura Hotel, di sini, semalam.
Program anjuran Tourism Malaysia Sabah itu menghimpunkan 121 peserta daripada 31 pasukan, termasuk 10 pasukan media yang menyertai aktiviti berkenaan bagi meneroka keistimewaan destinasi pelancongan, khususnya di Sandakan.
Jafry berkata, penyertaan pengamal media dalam program itu membuktikan kepentingan kerjasama antara sektor pelancongan dengan media bagi memperluas capaian promosi destinasi tempatan.
Menurutnya, pengalaman yang diperoleh peserta sepanjang program berkenaan diharap dapat diterjemahkan kepada kandungan yang mampu mengetengahkan keunikan dan tarikan Sandakan kepada khalayak lebih luas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia Sabah serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan, selain mengucapkan tahniah kepada peserta atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan.
Katanya, program berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan, berkongsi pengalaman dan membuka peluang kerjasama baharu dalam mempromosikan industri pelancongan.
“Kepada semua 31 pasukan, tahniah atas penyertaan dan semangat yang ditunjukkan. Setiap cabaran yang ditempuhi, setiap petunjuk yang berjaya diselesaikan dan setiap pengalaman yang dikongsi pastinya menjadi sebahagian daripada kenangan untuk dibawa pulang,” katanya.
Beliau turut berharap usaha promosi menerusi inisiatif Visit Malaysia 2026-2027 dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkenalkan lebih banyak destinasi tempatan kepada pelancong.
Jafry berkata, semua pihak perlu terus berganding bahu memperkukuh industri pelancongan dan memastikan pengalaman yang ditawarkan mampu meninggalkan kesan positif kepada pengunjung.
Beliau turut berharap Sandakan terus menjadi antara destinasi kebanggaan Sabah yang mampu menarik minat pelancong menerusi keunikan serta pengalaman yang ditawarkan.-Dakwat Rakyat Post
