MUKAH: Enam lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dalam ujian saringan awal polis menerusi Ops Tapis Khas di Kampung Petanak Ulu, di sini, hari ini.
Kesemua lelaki berusia antara 31 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang dalam operasi di sebuah rumah pekerja yang terletak di kawasan pinggir hutan.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, pemeriksaan di lokasi tangkapan tidak menemukan sebarang barang salah.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan bekerja sebagai peniaga dan salah seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak Ogos 2026,” katanya.
Beliau berkata, kesemua lelaki itu dibawa ke pejabat polis untuk proses pengambilan cap jari sebelum ditempatkan di lokap Balai Polis Mukah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah secara salah.
Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Mukah sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat serta mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh.
Muhamad Rizal menegaskan pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah Mukah.
Orang ramai turut diminta bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu tindakan penguatkuasaan.-DRP
