BELURAN: Tanaman ubi kayu varieti Sri Kanji 1 berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk di Paitan dan Pitas apabila setiap pokok mampu menghasilkan purata 10 kilogram ubi kayu yang sesuai diproses menjadi makanan ternakan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tanaman itu wajar diperluaskan dalam kalangan penduduk setempat berikutan permintaan industri, harga pasaran yang baik serta jaminan pembelian hasil oleh syarikat pengusaha.
Menurutnya, beliau mencadangkan supaya Jabatan Pertanian Sabah bekerjasama dengan pihak syarikat bagi mempromosikan tanaman berkenaan kepada penduduk di kedua-dua daerah itu.
“Potensi tanaman ubi kayu Sri Kanji ini amat baik, ditambah pula dengan harga yang menarik.
“Hasil yang ditanam oleh penduduk kampung akan dibeli sepenuhnya oleh syarikat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke ladang ubi kayu Tri Corpora Sdn Bhd di Kampung Tangkarason, Paitan, di sini, semalam.
Jamawi berkata, syarikat itu kini mengusahakan tanaman ubi kayu varieti Sri Kanji 1 di kawasan seluas 31 ekar secara berperingkat dengan menggunakan mesin sepenuhnya.
Katanya, varieti berkenaan sesuai diproses menjadi makanan ternakan yang kini dijual pada harga RM1.20 sekilogram.
Menurutnya, setiap hektar tanah mampu menampung kira-kira 10,000 pokok dengan jarak tanaman tiga kaki kali enam kaki, manakala setiap pokok menghasilkan purata 10 kilogram ubi kayu.
Dalam perkembangan sama, Tri Corpora merancang membuka kawasan tambahan seluas 300 ekar bagi tanaman itu tahun depan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Syarikat berkenaan juga sedang membina kilang pemprosesan ubi kayu kepada makanan ternakan yang dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027.
Jamawi berkata, kerjasama antara Jabatan Pertanian Sabah dan pihak syarikat dalam mempromosikan tanaman Sri Kanji 1 mampu membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menceburi bidang pertanian komersial, khususnya bagi memenuhi keperluan industri makanan ternakan.
Lawatan itu turut disertai Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson Jaimi; Timbalan Pengarahnya, Suraya Jubahar serta pegawai daripada Bahagian Penyelidikan ARC Tuaran dan ARC Tenom.-Dakwat Rakyat Post
