KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan sistem MyLapor mulai 12 Oktober sebagai saluran aduan digital bagi membolehkan orang ramai melaporkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Inisiatif itu bertujuan memudahkan orang awam menyalurkan aduan, selain memperkukuh pengurusan aduan dan tindakan penguatkuasaan oleh anggota kesihatan.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, aduan boleh dikemukakan menerusi aplikasi MySejahtera, imbasan kod QR MyLapor atau pautan https://kkmhub.moh.gov.my/mylapor/public.
Setiap aduan akan disalurkan terus kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran berdasarkan lokasi kejadian bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih cepat dan berkesan.
Melalui sistem itu, pengadu juga boleh menerima notifikasi mengenai status aduan yang dikemukakan menerusi aplikasi MySejahtera.
Menurut KKM, pelaksanaan MyLapor membolehkan masyarakat melaporkan kesalahan tanpa perlu bersemuka dengan individu yang melakukannya.
Pengurusan aduan secara digital turut membantu kementerian memantau laporan, mengenal pasti lokasi yang memerlukan perhatian serta merancang operasi penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
Inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan KKM bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pematuhan terhadap larangan merokok.
Usaha berkenaan bertujuan melindungi kesihatan awam, khususnya kanak-kanak, daripada pendedahan kepada asap rokok, selain mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat.
KKM menyeru orang ramai supaya menggunakan MyLapor secara bertanggungjawab dengan memberikan maklumat yang tepat dan lengkap bagi membantu siasatan.
Pemilik serta pengusaha premis turut digalakkan memaparkan kod QR MyLapor di lokasi yang mudah dilihat dan memastikan pematuhan terhadap larangan merokok di premis masing-masing.-Dakwat Rakyat Post
