KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan kes memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, di sini, malam Sabtu lalu.
Suspek ditahan di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, hasil siasatan lanjut oleh polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang semalam sebelum siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek.
“Suspek berjaya ditahan dan usaha mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Shahrudin berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kejadian itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 23 tahun dilaporkan dipukul dan ditendang oleh sekumpulan lelaki, termasuk menggunakan topi keledar, di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam.
Rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial.
Mangsa dilaporkan mengalami keretakan tulang hidung, lebam dan calar pada beberapa bahagian badan sebelum menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.-Dakwat Rakyat Post
