TAWAU: Pelaksanaan tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 perlu diperhalusi supaya dapat memenuhi keperluan sebenar hospital dan menangani kekurangan tenaga kesihatan yang berlarutan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, data berhubung keperluan petugas dan penempatan di hospital setiap daerah sudah tersedia, namun pengisian kekosongan masih menjadi cabaran besar.
Beliau berkata, langkah itu perlu mengambil kira keperluan semasa bagi memastikan masalah kekurangan petugas dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Kita sudah tahu keperluan tenaga kerja dan penempatan di setiap hospital daerah yang memerlukan. Data semuanya sudah ada, cuma untuk mengisi kekosongan itu memang satu cabaran yang sangat besar.
“Bagaimanapun, kita perlu usahakan yang terbaik kerana kita tidak mahu timbul masalah pada kemudian hari jika isu ini tidak dapat diselesaikan setuntasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pertandingan Pickleball Pink Ribbon Sabah di sini, semalam.
Pertandingan anjuran Sabah Pink Ribbon bersama Fuji Pickleball Club Tawau itu disertai 136 peserta wanita.
Rina berkata, cabaran kekurangan tenaga kesihatan berbanding jumlah pesakit bukan hanya dihadapi Sabah, malah turut membabitkan hospital di Semenanjung.
Katanya, walaupun perkhidmatan kesihatan masih mampu mengendalikan keperluan semasa, usaha mengisi kekosongan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan masalah lebih besar pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diyakini dapat membantu memenuhi keperluan perkhidmatan di Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, usaha memperkukuh sektor kesihatan juga antara perjuangan penting Sabah dalam merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dalam memperjuangkan keperluan berkenaan kerana setiap negeri mahukan perkhidmatan terbaik untuk rakyat masing-masing.
Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan KKM meningkat kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion pada tahun ini.
Kerajaan turut mengumumkan tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak pada tahun depan, menyusuli pelantikan tetap lebih 15,000 doktor kontrak sejak 2023, termasuk 4,000 pada tahun ini.
Anwar turut memaklumkan, selepas ini doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.- Dakwat Rakyat Post
