KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sah bersama tiga warga Myanmar yang disyaki melanggar undang-undang perikanan dan imigresen di perairan barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.
Bot berkenaan ditahan kira-kira jam 10.50 pagi pada kedudukan 4.3 batu nautika barat laut pulau itu dalam operasi penguatkuasaan oleh Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot itu disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, iaitu bubu naga.
Pemeriksaan lanjut terhadap tiga kru warga Myanmar turut mendapati mereka disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
“Bot fiber bersama ketiga-tiga kru kemudiannya dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 berhubung penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan serta Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan imigresen yang disyaki dilakukan.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram, penggunaan peralatan tangkapan terlarang serta pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.-Dakwat Rakyat Post
