KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) terus memperkukuh peranannya dalam masyarakat menerusi inisiatif kebajikan, perkongsian ilmu dan kepakaran serta usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.
Presidennya, Dr Aslie Haji Sahat berkata, PMPS bukan sekadar menghimpunkan mantan pendidik, sebaliknya menjadi platform untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat berbekalkan pengalaman dan kepakaran sepanjang berkhidmat dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, persaraan bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat, khususnya menerusi bimbingan kepada pelajar, ibu bapa, pertubuhan masyarakat dan organisasi setempat.
“Walaupun telah bersara daripada perkhidmatan pendidikan, kami percaya ilmu, pengalaman dan semangat untuk berbakti tidak seharusnya terhenti. Sebaliknya, semua itu boleh terus dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi PMPS mengadakan kunjungan hormat kepada Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah, di pejabatnya di sini, pada Selasa.
Dr Aslie berkata, antara keutamaan persatuan itu adalah menjaga kebajikan ahli, termasuk mengadakan lawatan kepada ahli yang sakit bagi memberikan sokongan moral serta sumbangan sebagai tanda keprihatinan.
Selain itu, PMPS turut menyediakan khairat kematian sebanyak RM500 kepada keluarga ahli yang meninggal dunia bagi membantu meringankan beban mereka ketika menghadapi kehilangan insan tersayang.
Dalam aspek perkongsian kepakaran, beliau berkata pengalaman mantan pendidik boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran organisasi, termasuk dalam perancangan program, pengurusan mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, penulisan surat rasmi dan pengurusan fail secara sistematik.
Katanya, PMPS berhasrat memperluas perkongsian ilmu dan pengalaman itu supaya terus memberi manfaat kepada generasi muda serta organisasi masyarakat.
Persatuan berkenaan juga berhasrat memainkan peranan sebagai duta kecil Sabah dengan membawa imej positif negeri menerusi hubungan kemasyarakatan dan penglibatan dalam pelbagai program kesejahteraan rakyat.
Kunjungan hormat yang disertai lapan anggota delegasi, termasuk barisan Jawatankuasa Tertinggi PMPS, bertujuan memperkenalkan peranan dan hala tuju persatuan kepada kepimpinan negeri.
Pertemuan itu turut membuka ruang untuk mempererat hubungan serta meneroka peluang memperluas sumbangan mantan pendidik terhadap pembangunan masyarakat Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
