SANDAKAN: Gara-gara menegur sebuah kereta yang mengeluarkan bunyi ekzos kuat, seorang lelaki berusia 23 tahun cedera selepas dibelasah lima individu di Bandar Utama IJM Batu 6, malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa dikatakan sedang melepak bersama tiga rakannya sebelum sebuah kereta Perodua Kancil berwarna ungu melalui kawasan berkenaan dengan mengeluarkan bunyi letusan kuat daripada ekzosnya.
Mangsa kemudian menegur perbuatan tersebut, namun tindakan itu dipercayai mencetuskan pergaduhan apabila lima individu, termasuk pemandu kereta berkenaan, datang sebelum menyerangnya.
Mangsa dilaporkan dipukul sehingga terbaring dan mengalami kecederaan ringan pada bahagian kening kiri, hidung serta kedua-dua lengan.
Kejadian itu turut dirakam selama 53 saat oleh rakan mangsa yang sedang membuat siaran langsung di TikTok sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan polis sedang giat mengesan lima suspek yang terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
