KUALA LUMPUR – Usahawan muda perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini dihimpit tekanan dari dua arah apabila terpaksa bersaing dengan kilang luar negara yang menjual terus kepada pengguna Malaysia selain berdepan kenaikan caj platform e-dagang sehingga 14.5 peratus.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Bebas) berkata, keadaan itu semakin menekan usahawan muda sedangkan sektor PMKS menyumbang kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih separuh daripada jumlah pekerjaan negara.
“Tekanan dari atas dan bawah. Inilah permasalahan generasi sandwich yang kini mencekik golongan usahawan muda.
“Kita perlu memahami bahawa sektor PMKS merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
Menurut Syed Saddiq, sektor PMKS semakin terjejas apabila pengguna boleh membeli terus daripada kilang termasuk dari luar negara tanpa perlu melalui usahawan kecil tempatan.
Beliau menegaskan, isu itu bukan mengenai usaha mengharamkan platform e-dagang sebaliknya memastikan persaingan yang adil antara peniaga tempatan dengan penjual luar negara.
“Apa maksud medan persaingan yang tidak adil? Kilang-kilang di luar negara tidak membayar cukai seperti cukai jualan dan perkhidmatan serta cukai pergudangan di Malaysia.
“Mereka juga tidak mencarum kepada KWSP dan Perkeso atau tertakluk kepada undang-undang gaji minimum tempatan,” tegasnya.
Syed Saddiq berkata, perbezaan struktur kos itu memberi kelebihan kepada kilang luar negara sedangkan usahawan tempatan perlu mematuhi undang-undang serta menanggung kos operasi dan pekerja.
“Perbezaan struktur kos ini menyebabkan usahawan muda tempatan yang mematuhi undang-undang terjejas teruk, terpaksa mengecilkan perniagaan dan akhirnya memberhentikan pekerja akibat persaingan yang tidak adil,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pengusaha Malaysia boleh memasuki pasaran luar negara semudah penjual asing menjual produk mereka di Malaysia.
“Bolehkah usahawan muda atau kilang di Malaysia menjual terus ke negara luar seperti yang dilakukan oleh mereka di pasaran kita? Jawapannya tidak semudah itu,” katanya.
Menurutnya, syarikat Malaysia lazimnya perlu berdaftar, mematuhi undang-undang dan piawaian negara berkenaan serta menempatkan operasi di sana atau menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan bagi menembusi pasaran tertentu.
“Bayangkan, usahawan muda kita berdepan pelbagai halangan apabila mahu memasuki pasaran negara lain tetapi pada masa sama kita membuka pasaran Malaysia seluas-luasnya walaupun menyedari persaingan tidak adil ini boleh mencekik usahawan tempatan,” tegasnya.
Syed Saddiq berkata, tekanan terhadap usahawan tempatan bukan sahaja datang daripada persaingan luar negara malah turut berpunca daripada kenaikan caj platform e-dagang seperti TikTok dan Shopee.
“Tekanan daripada atas sudah kita lihat. Sekarang kita lihat pula tekanan daripada bawah. Inilah keadaan generasi sandwich yang terpaksa ditanggung oleh usahawan muda kita,” katanya.
Beliau mendakwa kadar komisen platform yang sebelum ini sifar ketika peringkat awal operasi pada 2021 hingga 2022 kini meningkat kepada 14.5 peratus.
“Angka tidak menipu. Pada peringkat awal operasi platform besar ini pada 2021 dan 2022, kadar komisen ialah sifar peratus. Sekarang sudah meningkat kepada 14.5 peratus. Itu baru komisen, belum termasuk caj lain,” jelasnya.
Menurutnya, caj transaksi turut meningkat daripada dua peratus kepada 3.78 peratus, manakala caj sokongan platform yang sebelum ini tidak dikenakan kini berjumlah 0.54 peratus bagi setiap pesanan.
Beliau berkata, kadar bagi kempen tertentu pula meningkat daripada 4.86 peratus kepada 7.02 peratus, iaitu kenaikan sebanyak 44 peratus.
“Jika semua caj ini dicampurkan, peningkatannya sangat tinggi. Ia tidak adil, tidak dimaklumkan lebih awal dan dibuat pada saat-saat akhir. Keadaan ini amat membebankan peniaga,” katanya lagi.
Tambah beliau, kenaikan pelbagai caj itu memberi kesan besar kepada peniaga kecil yang mempunyai margin keuntungan rendah terutama apabila mereka pada masa sama perlu bersaing dengan produk luar negara yang dijual terus kepada pengguna.
Beliau menegaskan, usahawan tempatan tidak meminta perlindungan sehingga menutup pasaran kepada pesaing, sebaliknya mahu kerajaan memastikan persaingan berlangsung secara adil.
Beliau mengingatkan jika tekanan itu berterusan, usahawan muda mungkin terpaksa mengecilkan operasi atau memberhentikan pekerja akhirnya menjejaskan sektor PMKS yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi dan pekerjaan negara.
Kredit sumber: MalaysiaGazette
