LAHAD DATU: Sebuah stor penyimpanan peralatan pekerja ladang musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran di Ladang Bonrich, Batu 17, Jalan Lahad Datu–Sandakan, malam tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.57 malam.
Menurutnya, seramai 10 anggota bersama jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 10.21 malam sebelum komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah stor kekal berukuran 15 x 30 kaki persegi yang digunakan untuk menyimpan peralatan pekerja ladang.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air, manakala bekalan air diperoleh daripada tangki jentera bomba.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.44 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.59 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).-DAKWAT RAKYAT POST
