TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau membuka kertas siasatan berhubung kes disyaki penyelewengan minyak masak bersubsidi seberat 850 kilogram di perairan Batu 3, Tawau.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi KPDN Sabah, kes itu diserahkan oleh sepasukan Pasukan Polis Marin (PPM) kepada KPDN Cawangan Tawau pada 13 Oktober 2026, susulan pemantauan dan risikan yang dijalankan di sekitar kawasan perairan berkenaan.
Sebanyak 850 kilogram minyak masak bersubsidi, bersamaan 50 unit pada anggaran 17 kilogram setiap satu, disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan itu.
Nilai keseluruhan barangan, bot dan enjin yang disita dianggarkan berjumlah RM82,185.
Kes berkenaan diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut kenyataan itu, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.
KPDN Cawangan Tawau menegaskan komitmennya untuk membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara.-DAKWAT RAKYAT POST
