TAWAU: Zikir dan munajat bukan sekadar amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, malah menjadi wadah menyatukan umat Islam dalam menzahirkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus memerlukan perhatian masyarakat dunia.
Mesej itu antara yang diketengahkan menerusi Program Zikir Perdana dan Munajat Buatmu Gaza di Surau An-Nur, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, yang menghimpunkan kira-kira 300 hingga 400 peserta, baru-baru ini.
Penolong Pesuruhjaya Majlis Dakwah Negara (MDN) Sabah merangkap Pengarah Bersama Program, Ustaz Muhammad Syarif berkata, penganjuran program itu bertujuan menghidupkan budaya zikir, munajat dan doa dalam kalangan masyarakat, selain memperkukuh kesedaran mengenai tanggungjawab umat Islam terhadap saudara mereka di Palestin.
Menurutnya, penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan sekadar isu kemanusiaan yang perlu diberikan perhatian, malah menuntut keprihatinan rohani, kesatuan ummah dan usaha berterusan daripada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, doa yang dipanjatkan menerusi majlis berkenaan menjadi manifestasi keimanan, kasih sayang dan harapan agar rakyat Palestin diberikan perlindungan, kekuatan serta keadilan dalam menghadapi penderitaan.
“Doa bukan tanda kelemahan atau sikap berdiam diri. Sebaliknya, doa merupakan pengabdian kepada Allah SWT, pengakuan terhadap keterbatasan manusia dan pengharapan agar pertolongan, perlindungan serta keadilan dikurniakan kepada mereka yang tertindas,” menurut kenyataan program itu.
Muhammad Syarif berkata, solidariti terhadap Palestin tidak seharusnya terhenti melalui doa semata-mata, sebaliknya perlu disusuli usaha yang mampu dilakukan bagi membantu golongan terjejas.
“Antaranya termasuk menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui saluran yang sah, menyebarkan maklumat yang benar serta terus menyuarakan keprihatinan terhadap hak rakyat Palestin.
“Usaha berterusan itu penting bagi memastikan penderitaan yang dialami rakyat Palestin tidak dilupakan, meskipun perhatian masyarakat dunia terhadap konflik berkenaan berubah mengikut perkembangan semasa,” katanya.
Program itu menghimpunkan masyarakat setempat, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil madrasah dan orang ramai, sekali gus menjadi ruang untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam majlis kerohanian yang membawa mesej kemanusiaan.
Majlis berkenaan menampilkan Ustaz Abd Manaf Abidallah sebagai pengisi utama dan digerakkan Muhammad Syarif bersama jawatankuasa penganjur.
Selain memanjatkan doa untuk Palestin, program berkenaan turut menekankan kepentingan zikir dalam membentuk ketenangan jiwa dan mendidik manusia supaya lebih prihatin terhadap penderitaan orang lain.
Muhammad Syarif berkata, zikir tidak seharusnya terhad kepada amalan lisan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui akhlak, tutur kata dan tindakan yang mencerminkan nilai kasih sayang serta kemanusiaan.
Menurutnya, penghayatan zikir diharapkan dapat membentuk individu yang lebih sabar, merendah diri dan mampu mengawal kemarahan, selain menjauhi sifat dendam, kebencian serta permusuhan.
Beliau berkata, masyarakat yang harmoni perlu dibina melalui hati yang terdidik dan kesediaan setiap individu melakukan perubahan positif dalam kehidupan seharian.
“Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d, ayat 28, yang bermaksud bahawa dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram, turut mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan zikir dalam membina kekuatan rohani.
“Sehubungan itu, penghayatan agama perlu diteruskan di luar majlis seperti ini melalui amalan harian, kegiatan kebajikan dan kesediaan membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Syarif berharap program seumpama itu tidak terhenti sebagai perhimpunan bermusim, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pengukuhan kesatuan ummah dan peningkatan kesedaran terhadap isu kemanusiaan.
Beliau berkata, kehadiran ratusan peserta menunjukkan majlis zikir, ilmu dan munajat masih mempunyai peranan penting dalam menyatukan masyarakat serta menyemai nilai persaudaraan.
Program berkenaan dianjurkan Majlis Dakwah Negara (MDN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Sekretariat Kota Sufi Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
