TAWAU: Pelaksanaan parkir berbayar di Hospital Tawau disifatkan sebagai langkah ke hadapan bagi mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan yang sekian lama menjadi rungutan pengunjung dan kakitangan hospital berkenaan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, masyarakat perlu memahami bahawa penyediaan kemudahan itu membabitkan kos, lebih-lebih lagi tapak berkenaan merupakan milik syarikat luar dan bukannya hospital.
Beliau berkata, banyak aduan berhubung kekurangan parkir sudah diterima sebelum ini, namun masalah berkenaan masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Kita juga terpaksa menumpang harta benda milik syarikat luar dan perlunya ada kos-kos yang terlibat. Ini harus difahami setiap pihak bahawa sistem pentadbiran, pengurusan itu semuanya pastinya memerlukan kos.
“Jadi, apabila ada pihak yang mengambil inisiatif ini, harus kita terbuka dan menerima bahawa kita perlu mengikut kadar yang telah ditetapkan untuk menikmati perkhidmatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Outreach Korektif di Dewan Serbaguna Penjara Tawau, di sini, hari ini.
Rina berkata, inisiatif syarikat luar membangunkan tapak parkir itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada orang awam, malah membantu kakitangan hospital yang turut berdepan kesukaran mendapatkan tempat letak kenderaan.
Beliau turut membangkitkan aspek keselamatan dengan menyatakan bahawa kejadian kemalangan dan kecurian pernah berlaku sebelum ini.
Justeru, beliau berpandangan usaha menyediakan kemudahan berkenaan wajar diterima secara terbuka bagi menangani masalah parkir yang berlarutan.
Sebelum ini, cadangan parkir berbayar di Hospital Tawau mengundang rungutan susulan makluman berhubung caj maksimum RM5 sehari kepada pengunjung dan RM30 bagi kakitangan hospital.
Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan caj berkenaan belum diumumkan secara rasmi.-DAKWAT RAKYAT POST
