KUANTAN: Dua lelaki warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang selepas disyaki menjalankan aktiviti perikanan tanpa lesen sah di perairan Kuantan.
Kedua-dua lelaki berusia 43 dan 58 tahun itu ditahan ketika mengendalikan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang dikesan sedang menarik pukat kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Haji Mazlan Mat Rejab berkata, bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 3.8 batu nautika tenggara Tanjung Gelang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak mempunyai nombor pendaftaran, manakala kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan permit kerja yang sah.
Mereka turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, selain mengendalikan bot tanpa lesen sah dan menjalankan aktiviti perikanan yang melanggar peruntukan Akta Perikanan 1985.
Kedua-dua lelaki bersama bot berkenaan kemudian ditahan dan diiringi ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurut Mazlan, penahanan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara, termasuk membanteras penggunaan tenaga kerja asing tanpa dokumen sah serta aktiviti perikanan yang melanggar undang-undang.
Beliau berkata, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan perairan negara terkawal serta melindungi sumber maritim daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.-DAKWAT RAKYAT POST
