KOTA KINABALU: Projek Pusat Seni Persembahan Kota Kinabalu (KKPAC) di tapak Wisma Budaya di sini bakal dimulakan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan seni dan industri kreatif di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pembangunan itu akan menyediakan kemudahan khusus bagi mengembangkan bakat seni tempatan, selain memperkukuh usaha memelihara warisan budaya negeri ini.
Beliau berkata, KKPAC akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk auditorium persembahan, teater black box, studio tarian dan dewan latihan bagi menampung pelbagai aktiviti seni serta kebudayaan.
“KKPAC akan menjadi hab penting untuk seni persembahan dan program kebudayaan, selain menyediakan ruang khusus bagi memupuk bakat tempatan, mempromosikan kekayaan warisan budaya Sabah serta menyokong perkembangan industri kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat projek berkenaan di sini, hari ini.
Menurutnya, kemudahan itu dijangka menarik lebih banyak penganjuran konsert dan persembahan yang mengetengahkan bakat anak tempatan, selain memberi peluang kepada golongan muda untuk berlatih, berkarya dan menonjolkan kreativiti masing-masing.
Katanya, pembangunan berkenaan juga berpotensi membantu Lembaga Kebudayaan Sabah (LKNS) memperkukuh operasinya serta menjana pendapatan mampan menerusi penganjuran program kebudayaan, acara dan penyewaan kemudahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jafry berkata, cadangan pembinaan bangunan pentadbiran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) bersama semua badan berkanunnya di tapak sama kini berada pada peringkat akhir perancangan.
Beliau berkata, bangunan berkenaan dijangka mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan dan akan menempatkan pejabat kementerian serta tiga agensi, iaitu Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah dan LKNS.
Menurutnya, penyatuan pejabat di bawah satu bumbung itu bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih bersepadu.
“Pembiayaan bagi cadangan pembangunan bangunan pentadbiran itu dijangka melibatkan Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah,” katanya
Jafry berkata, perancangan berkenaan turut mengambil kira keperluan jangka panjang LKNS yang kini beroperasi di premis sewaan di Wisma Perindustrian, Likas.
“Pembangunan ini sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memaksimumkan nilai aset kerajaan, memperkukuh kecekapan pentadbiran dan memastikan institusi kebudayaan kita dilengkapi kemudahan yang mampu memenuhi keperluan masa depan.
“Keutamaan kita adalah untuk memberikan manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada KePKAS dan agensinya, tetapi juga kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kepentingan LKNS akan terus diberi perhatian sepanjang pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan.
Katanya, kerjasama berterusan antara agensi di bawah KePKAS dan pihak berkepentingan penting bagi memastikan pembangunan strategik itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.-DAKWAT RAKYAT POST
