SANDAKAN: Seramai 10 individu ditahan dalam empat kes penguatkuasaan berasingan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, semalam, dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM508,352.50.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas tiga bot nelayan tempatan, sebuah bot pancung, enjin sangkut berkuasa 250 kuasa kuda, selain hasil laut kira-kira dua tan dan 750 liter minyak diesel.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, tiga bot nelayan tempatan ditahan dalam operasi berasingan antara 2.50 pagi hingga 3.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan bot pertama mendapati ia dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama dua awak-awak bukan warganegara dan membawa hasil laut seberat kira-kira 50 kilogram.
“Bot kedua pula dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama seorang awak-awak bukan warganegara, selain membawa hasil laut seberat kira-kira satu tan serta lima tong gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram setiap satu.
“Pemeriksaan bot ketiga turut menemukan hasil laut seberat kira-kira satu tan dan lima tong gas LPG dengan kapasiti sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam tindakan berasingan, pihaknya turut memeriksa sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dan sebuah premis di Kampung Seng Kee, di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 25 tong jeriken berkapasiti 30 liter setiap satu yang mengandungi keseluruhan 750 liter minyak diesel.
“Bot pancung dan enjin sangkut Yamaha berkuasa 250 kuasa kuda turut dirampas dalam kes itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM51,952.50,” katanya.
Muhamad Suhairy berkata, nilai rampasan membabitkan tiga bot nelayan tempatan dianggarkan RM456,400, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bagi empat kes berkenaan RM508,352.50.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 2002, tertakluk kepada hasil siasatan setiap kes.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya-DAKWAT RAKYAT POST
