PENAMPANG: Program Premis Bersih dan Bebas Asap Rokok (BeBAs) diteruskan sebagai usaha Sabah memperkukuh aspek kebersihan, keselamatan makanan dan persekitaran bebas asap rokok di premis makanan di seluruh negeri.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata program itu menggabungkan usaha memastikan premis makanan bersih dan selamat, selain mematuhi piawaian keselamatan makanan termasuk mendapatkan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS).
Beliau berkata, pada masa sama, BeBAs turut memberi penekanan terhadap usaha memastikan premis makanan bebas daripada aktiviti merokok dan penggunaan vape bagi menyediakan persekitaran lebih sihat kepada pelanggan serta pengendali makanan.
“Program BeBAs pertama dilaksanakan pada 2024 sebagai projek rintis di Bandar Kubota, Tawau, diikuti siri kedua di Heritage Street, Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 2025.
“Tahun ini, siri ketiga diadakan di Penampang, mencerminkan usaha berterusan kita untuk menggalakkan premis makanan yang lebih bersih, selamat dan bebas asap rokok di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program BeBAs Siri 3 Tahun 2026 di Funky Farm Food Court, Kepayan, di sini, hari ini.
Julita berkata, program berkenaan turut menggalakkan pengendali makanan memenuhi keperluan bagi mendapatkan pengiktirafan BeSS, termasuk mendapatkan suntikan vaksin anti-tifoid serta Sijil Latihan Pengendali Makanan.
Mengenai aspek bebas asap rokok, beliau berkata pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperkukuh usaha melindungi orang awam daripada kesan buruk akibat merokok dan penggunaan vape.
“Program ini turut mencatatkan pematuhan 100 peratus terhadap keperluan mempamerkan tanda larangan merokok dan penggunaan vape,” katanya.
Julita berkata, pelaksanaan BeBAs turut mencerminkan pendekatan Whole-of-Nation apabila agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali makanan dan komuniti berkongsi tanggungjawab dalam meningkatkan tahap kesihatan awam.
“Kebersihan, keselamatan makanan dan persekitaran bebas asap rokok perlu menjadi sebahagian daripada budaya harian kita, bukan sekadar amalan ketika pemeriksaan atau program tertentu.
“Ini merupakan tanggungjawab bersama dalam mewujudkan premis makanan yang lebih selamat dan sihat untuk semua,” katanya.
Program BeBAs sebelum ini dilaksanakan di Bandar Kubota, Tawau pada 2024 dan Heritage Street, Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 2025.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong; Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Noemi Dyena John Tren dan pemilik Funky Farm Food Court, Datuk Dr James Jeremiah.
