EDITORIAL
LAHAD DATU, 21 NOVEMBER 2026 – Ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa kerana penggunaan tanpa kawalan boleh menjejaskan solat, pelajaran serta tanggungjawab harian.
Guru Besar Sekolah Agama Nurul Mustaqim, Ustaz Haji Mohammad Yunus Abu berkata, gajet bukan sesuatu yang haram, namun boleh menjadi racun apabila penggunaannya melalaikan dan menguasai kehidupan anak-anak.
Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai contoh dengan menetapkan batas penggunaan telefon bimbit, termasuk melarang penggunaan gajet ketika makan, waktu solat dan sebelum tidur.
Beliau turut menyarankan agar masa yang dihabiskan di hadapan skrin digantikan dengan aktiviti bermanfaat seperti bersukan, meluangkan masa bersama keluarga dan mengimarahkan masjid.
“Sukan ini bukti fitrah anak-anak kita. Mereka perlu bergerak, berpeluh dan berkawan secara nyata, bukan hanya menghadap skrin,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Sukan Sekolah Agama Nurul Mustaqim di Kompleks Sukan Lahad Datu, hari ini.
Beliau berkata, kemenangan sebenar bukan sekadar meraih pingat emas, sebaliknya keupayaan setiap individu mengawal diri daripada nafsu dan ketagihan.
“Kemenangan sebenar bukan pada pingat emas sahaja, tetapi apabila kita berjaya menang melawan nafsu dan ketagihan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Sukan Sekolah Agama Nurul Mustaqim yang berlangsung selama tujuh hari melabuhkan tirainya hari ini dengan menyaksikan Rumah Kuning muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 37 pingat emas.
Pelbagai acara dipertandingkan sepanjang kejohanan itu, antaranya futsal, lumba lari, lompat jauh dan beberapa acara sukan lain yang menawarkan pingat emas, perak serta gangsa.
Penganjuran tahun ini turut mencatat kelainan apabila acara balapan buat pertama kalinya berlangsung di Kompleks Sukan Lahad Datu, berikutan pertambahan acara serta penyertaan murid dan kehadiran ibu bapa yang semakin memberangsangkan.
Sebelum ini, penganjuran sukan tahunan sekolah berkenaan hanya tertumpu di gelanggang futsal.- DRP
