KOTA KINABALU: Aktiviti mencari lokan bertukar menjadi detik mengejutkan apabila seorang individu menemukan mayat lelaki terapung di laut berhampiran Pantai 2 Tanjung Aru, dekat Prince Philip Park, di sini, pagi tadi.
Mayat itu ditemukan kira-kira jam 10.57 pagi sebelum penemuan berkenaan dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sepasukan anggota polis tiba di lokasi kira-kira jam 11.15 pagi sebelum mayat dibawa ke tepi pantai dengan bantuan orang awam.
Menurutnya, pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) tiba kira-kira jam 12 tengah hari dan mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.
“Identiti lelaki terbabit masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kematiannya.
“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HQE I untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, Shahrudin meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti lelaki berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 40-an, selain membantu mengesan warisnya.
Orang ramai yang mengenali lelaki itu atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ketua Polis Balai Tanjung Aru, Sub Inspektor Zairey Lee, menerusi talian 014-8555593.
Maklumat orang ramai amat diperlukan bagi membantu polis mengenal pasti identiti lelaki berkenaan dan mengesan ahli keluarganya.-DAKWAT RAKYAT POST
