KUANTAN, 16 Oktober 2026 – Seorang nelayan warga Indonesia berusia 61 tahun ditemukan selamat selepas bot yang dinaikinya hanyut di perairan Pulau Tioman akibat kehabisan minyak.
Mangsa, Bachtiar, ditemukan oleh orang awam pada 15 Oktober selepas dilaporkan terputus hubungan ketika dalam perjalanan dari Indonesia.
Menurut hantaran di Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kehilangan bot nelayan berkenaan daripada Kantor SAR Natuna menerusi e-mel pada 14 Oktober lalu.
Bot itu dilaporkan memulakan pelayaran dari Letung, Kabupaten Kepulauan Anambas, Indonesia pada 6 Oktober sebelum hubungan dengannya terputus.
Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan kemudiannya menerima laporan mengenai penemuan bot tersebut daripada MRSC Johor Bahru pada 15 Oktober.
Bot berkenaan ditemukan orang awam pada kedudukan kira-kira 22 batu nautika ke timur Pulau Tioman. Hasil pemeriksaan mendapati bot berada dalam keadaan baik, namun kehabisan minyak sehingga menyebabkan mangsa hanyut di laut.
Susulan penemuan itu, Maritim Malaysia menggerakkan bot PERKASA 1246 ke lokasi bagi memberikan bantuan kepada mangsa.
Mangsa bersama botnya kemudian dibawa ke Pulau Tioman dan tiba dengan selamat pada jam 3.10 pagi, 16 Oktober.
Dalam perkembangan sama, MRSC Kuantan turut menyelaras tindakan bersama Balai Polis Pulau Tioman bagi membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tekek untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mazlan berkata, pihaknya juga telah menghubungi Konsulat Republik Indonesia bagi memaklumkan perkembangan penemuan nelayan terbabit serta menyelaraskan tindakan susulan, termasuk urusan dokumentasi dan penghantaran pulang ke negara asal.
Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia komited memberikan bantuan kecemasan di laut bagi menyelamatkan nyawa, termasuk melibatkan nelayan dan warga asing yang berdepan situasi kecemasan di perairan negara.
Sehubungan itu, komuniti maritim dinasihatkan supaya memastikan bekalan bahan api mencukupi, peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik dan alat komunikasi berfungsi sebelum memulakan pelayaran.
Langkah pencegahan berkenaan penting bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan sepanjang berada di laut. – DAKWAT RAKYAT POST
