KUANTAN: Seramai 183 pelatih Laskar Kelas II Maritim, terdiri daripada 173 lelaki dan 10 wanita, berjaya menamatkan Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 19/2025 dalam satu perbarisan tamat latihan di Padang Kawad Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tamatnya latihan asas itu bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu dalam perkhidmatan setiap anggota.
Beliau menegaskan bahawa setiap anggota perlu mengutamakan disiplin, amanah, integriti dan kerja berpasukan, selain sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik demi keselamatan perairan negara.
Menurutnya, AMSAS memainkan peranan penting dalam melahirkan anggota Maritim Malaysia yang berkemahiran, berdisiplin serta mempunyai ketahanan fizikal dan mental bagi menghadapi cabaran tugas sebenar.
Sepanjang menjalani latihan, pelatih turut dibimbing menguasai kemahiran asas perkhidmatan, mematuhi arahan, bekerja dalam pasukan dan menyesuaikan diri dengan tuntutan kehidupan di laut.
Selepas tamat latihan asas, mereka akan menjalani latihan sambil bekerja atau On-the-Job Training (OJT) di kapal-kapal Maritim Malaysia bagi mengaplikasikan pengetahuan serta memahami prosedur operasi dan keselamatan dalam persekitaran tugas sebenar.
Sejak penubuhan Maritim Malaysia pada 2005, seramai 2,972 Laskar Kelas II Maritim telah dilatih, terdiri daripada 2,780 lelaki dan 192 wanita.
Latihan asas itu pada awalnya dilaksanakan di KD Sultan Ismail, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tanjung Pengelih, Johor, sebelum diteruskan di AMSAS bermula Siri 9 pada 2011.
Dalam pada itu, lima pelatih menerima anugerah kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian masing-masing sepanjang kursus berkenaan, anugerah sukan terbaik (Piala Temenggung) Laskar Kelas II Maritim Amirularif bin ‘Aini, anugerah pelatih terbaik akademik (Piala Bendahara) Laskar Kelas II Maritim Muhammad Nazrizal Ikmal bin Muhamad Wahizam, anugerah pelatih terbaik wanita (Piala Sri Kandi Laskarnita Terbaik) Laskar Kelas II Maritim Nur ‘Ain binti Mohd. Azwan Tan @ Tan She Boon, anugerah kawad terbaik (Piala Panglima) Laskar Kelas II Maritim Mohd Hakim bin Rosli dan anugerah terbaik (Piala Nakhoda) Laskar Kelas II Maritim Mohd Syafri bin Jamaluddin.
Saiful turut mengingatkan anggota muda supaya menghormati pegawai atasan, mematuhi arahan yang sah serta melaksanakan setiap tanggungjawab dengan jujur dan amanah.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan, jurulatih, tenaga pengajar dan seluruh warga AMSAS atas komitmen membimbing pelatih sehingga berjaya menamatkan latihan.
Kejayaan itu turut mencerminkan sokongan serta pengorbanan ibu bapa dan ahli keluarga yang menjadi sumber kekuatan kepada para pelatih sepanjang tempoh latihan.- DAKWAT RAKYAT POST
