TAWAU: Penduduk bergegas keluar menyelamatkan diri selepas terdengar jeritan jiran ketika api mula merebak ke kediaman mereka dalam kebakaran di Taman Fook Hwa, Jalan Mat Salleh, Batu 2, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Mangsa, Nasruddin Lakami, 40, berkata, dia bersama lima lagi ahli keluarganya baharu selesai makan malam sebelum terdengar jeritan dari luar rumahnya.
Katanya, sebaik keluar memeriksa keadaan, rumah bersebelahan yang terletak hanya satu meter dari kediamannya sudah terbakar.
“Jiran menjerit, kemudian kami keluar dan nampak rumah sebelah sudah terbakar. Rumah yang pertama terbakar itu betul-betul di sebelah rumah kami, jaraknya kira-kira satu meter sahaja.
“Api sangat kuat. Memang tidak sangka begitu cepat api merebak ke rumah saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.
Nasruddin berkata, mereka hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan beberapa barangan ringan sebelum meninggalkan rumah apabila api semakin marak.
Sementara itu, Murni Baharudin, 39, berkata, dia sudah tidur bersama dua anaknya berusia enam tahun dan setahun enam bulan sebelum dikejutkan jeritan orang ramai.
Menurutnya, jarak kebakaran dari rumahnya masih jauh, namun api merebak pantas sehingga dia terpaksa segera membawa kedua-dua anak ke tempat selamat.
“Kami memang biasa tidur awal. Tiba-tiba ada orang menjerit dari luar, ‘terbakar, terbakar’. Apabila keluar tengok, api sudah marak.
“Masa itu masih jauh dari rumah, tetapi tidak sangka sampai juga ke rumah kami. Memang kelam-kabut sebab anak masih kecil dan perlu dibawa keluar. Suami pula di tempat kerja waktu kejadian. Jadi saya sendiri usaha selamatkan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk, Akmat Abd Rasid, 51, berkata, dia bersama jiran lain membantu mengalihkan barangan mangsa selain mengingatkan penghuni supaya membawa dokumen pengenalan diri.
Katanya, mereka turut menyiram rumah yang belum terbakar bagi menghalang api daripada merebak, namun usaha itu terbatas apabila api semakin marak.
“Kami beritahu mereka supaya membawa dokumen penting seperti kad pengenalan dan surat lahir. Barang lain tinggalkan dulu.
“Rumah yang belum terbakar kami cuba siram, tetapi api terlalu kuat dan cepat merebak. Kami tidak mampu,” katanya.
Akmat berkata, generator yang cuba digunakan juga tidak dapat dihidupkan, sekali gus menyukarkan usaha mengepam air dari longkang berhampiran.
Katanya, penduduk berusaha membantu sedaya upaya kerana mangsa merupakan rakan dan jiran yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
Mangsa kebakaran kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau dengan proses pendaftaran masih dijalankan, membabitkan 68 keluarga setakat ini.
Dalam kejadian malam tadi, sebanyak 16 rumah kayu jenis tidak kekal musnah dan menyebabkan 258 hilang tempat tinggal.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau.-DAKWAT RAKYAT POST
