PITAS: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera selepas Toyota Hilux dan Perodua Kancil bertembung di Jalan Kampung Kesagaan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.59 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an dan menaiki Toyota Hilux disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pitas pada jam 10.16 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati Toyota Hilux berkenaan dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Pitas, manakala Perodua Kancil bergerak dari Pitas ke arah Kota Marudu.
Menurutnya, ketika melalui jalan menuruni bukit dan berselekoh, pemandu Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, seorang lelaki meninggal dunia manakala empat lagi mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Simun berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan, namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik Hospital Pitas sebelum bedah siasat dijalankan esok bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-DAKWAT RAKYAT POST
