TAWAU: Lebih 80 penduduk hilang tempat tinggal selepas 16 rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Taman Fook Hwa, Batu 2, Lorong Mat Salleh, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 9.31 malam itu menyebabkan penduduk berdepan detik cemas apabila api merebak dengan pantas, dipercayai akibat tiupan angin kencang dan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.
Kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 52 x 95 meter persegi itu bagaimanapun tidak mengorbankan nyawa, manakala tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kira-kira 300 rumah lain.
Ketua Zon 5 Tawau, Pegawai Kanan Bomba II Moilley Milin berkata, operasi pemadaman berdepan kekangan bekalan air sehingga pasukan bomba terpaksa menggunakan sumber air terbuka bagi membantu memadamkan kebakaran.
Menurutnya, Jabatan Air turut membantu meningkatkan tekanan air di beberapa pili bomba bagi memastikan operasi pemadaman dapat diteruskan dengan lancar.
“Semasa kebakaran, terdapat kekangan dari segi sumber air dan kita terpaksa menggunakan sumber air terbuka.
“Bagaimanapun, Jabatan Air berjaya meningkatkan tekanan air di beberapa pili bomba. Keadaan rumah yang rapat dan diperbuat daripada kayu, ditambah tiupan angin kuat, menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Terdahulu, seramai 45 anggota bomba digerakkan dalam operasi itu dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak serta Bomba Komuniti Titingan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 malam sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.25 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
