TAWAU: “Mau berak pun kadang-kadang kena tahan sebab risau bekalan air.” Itulah antara rintihan penduduk di Pulau Sebatik yang terpaksa berdepan masalah bekalan air bersih, sehingga menjejaskan urusan harian mereka.
Seorang penjawat awam yang bertugas di pulau berkenaan dan hanya mahu dikenali sebagai Anna berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan menjadi semakin kritikal ketika musim kemarau.
Menurutnya, penduduk terpaksa membeli air dalam gelen pada harga yang tinggi, manakala air minuman pula perlu dibeli dalam bentuk air botol atau air kotak.
“Kami terpaksa membeli air dalam gelen dengan harga mahal dan untuk minum kena beli air kotak. Malah, pernah saya sampai menggunakan air mineral untuk mandi. Terasa seperti orang kaya sekejap,” katanya sambil ketawa kecil.
Namun, di sebalik nada berseloroh itu, Anna mengakui keadaan berkenaan amat membebankan, khususnya bagi penduduk yang berpendapatan rendah.
“Bayangkan mereka yang bekerja sebagai nelayan atau tidak mempunyai pekerjaan tetap. Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan?” katanya.
Masalah bekalan air bersih itu disifatkan sebagai realiti pahit yang terpaksa dihadapi sebahagian penduduk Pulau Sebatik dalam menjalani kehidupan seharian.
Seorang lagi penduduk yang bekerja sebagai nelayan dan hanya mahu dikenali sebagai Yusof pula meluahkan rasa kecewa terhadap wakil rakyat yang didakwa masih belum berjaya membawa penyelesaian tuntas kepada masalah berkenaan.
Menurutnya, walaupun wakil rakyat di kawasan itu merupakan pembangkang di peringkat negeri, beliau mempersoalkan sama ada kedudukan parti mereka dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan boleh dimanfaatkan bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di pulau berkenaan.
“Walaupun kita sedia maklum wakil rakyat adalah pembangkang di negeri, tetapi parti mereka sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Takkan tiada tindakan boleh dibuat atau dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di pulau ini?
“Tolonglah kasihan kepada kami, ingatlah janji kamu masa pilihanraya lalu, rasa macam tertipu pun ada, kami sudah tidak sanggup terus membeli air menggunakan gelen dan membeli air botol untuk minum,” luahnya dengan nada kecewa.
Tinjauan Dakwat Rakyat Post (DRP) turut mendapati terdapat penduduk yang mula menggunakan tangki untuk menadah air hujan sebagai alternatif bagi menampung keperluan harian ketika bekalan air sukar diperoleh.
Bagaimanapun, usaha itu turut berdepan kekangan berikutan keadaan cuaca yang panas dan hujan yang tidak menentu di kawasan berkenaan.
Pada Mac lalu, Pulau Sebatik dilaporkan pernah diisytiharkan sebagai kawasan bencana akibat kemarau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau.
Keadaan itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai langkah penyelesaian jangka panjang yang boleh dilaksanakan bagi memastikan penduduk Pulau Sebatik mendapat akses kepada bekalan air bersih yang mencukupi dan berterusan.
Bagi penduduk yang terjejas, air bersih bukan sekadar keperluan asas, sebaliknya perkara penting yang menentukan keselesaan, kesihatan dan kelangsungan kehidupan seharian.
PENAFIAN
Artikel ini diterbitkan berdasarkan aduan awam dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Dakwat Rakyat Post. Pihak yang dinamakan atau mana-mana pihak berkaitan yang mempunyai maklumat, penjelasan atau bantahan terhadap kandungan artikel ini dialu-alukan untuk menghubungi pihak editorial bagi memberikan maklum balas atau mengemukakan artikel balas.
Dakwat Rakyat Post komited memberikan ruang kepada semua pihak untuk bersuara secara adil dan seimbang. Sebarang maklum balas akan dipertimbangkan untuk penerbitan tertakluk pada semakan editorial.
