KUALA PERLIS: Seramai 28 individu termasuk seorang tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di sekitar pesisir Pantai Kurung Tengar, di sini, awal pagi Jumaat.
Penahanan dilakukan kira-kira jam 6 pagi ketika Bot Benteng 1207 sedang menjalankan rondaan di perairan Perlis sebelum menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot berkenaan bergerak laju di pesisir pantai sebelum terdampar di kawasan cetek kira-kira 0.7 batu nautika dari Pantai Kurung Tengar ketika air surut.
Menurutnya, ketika bot itu dihampiri untuk pemeriksaan, tekong dan individu di dalamnya bertindak terjun ke dalam lumpur sebelum cuba melarikan diri ke pantai berhampiran.
Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditahan dengan bantuan anggota yang telah bersiap sedia di darat.
Hasil pemeriksaan mendapati 28 individu terbabit terdiri daripada seorang warga tempatan, dua warga Thailand, empat warga Myanmar dan 21 warga Bangladesh berusia antara 14 hingga 42 tahun.
Maritim Malaysia turut menyita sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk membawa migran memasuki Malaysia melalui laluan tidak dibenarkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki atau keluar dari Malaysia melalui laluan tidak dibenarkan tanpa menjalani pemeriksaan imigresen, serta Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta ATIPSOM 2007).
Kesemua individu yang ditahan bersama bot dan barang kes yang dianggarkan bernilai hampir RM150,000 dibawa ke jeti tahanan untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi membanteras penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim, yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Kuala Perlis menerusi talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau talian kecemasan 999.-DAKWAT RAKYAT POST
