RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan air ketum dalam serbuan di sebuah perkampungan di daerah ini, malam Jumaat.
Dalam operasi kira-kira jam 9.30 malam pada 16 Oktober itu, polis turut merampas 21 botol mineral berisi air ketum yang disimpan di dalam sebuah bekas berwarna merah.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil risikan berterusan serta maklumat daripada penduduk setempat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya, pihak polis akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan berkenaan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau.
Pengambilan dan pemprosesan cecair ketum yang melanggar peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau menerusi talian 088-875222. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.-DAKWAT RAKYAT POST
