KOTA BELUD: Setiap daerah di Sabah disaran membangunkan produk dan pengalaman pelancongan beridentiti tersendiri bagi menarik lebih ramai pengunjung sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kota Belud mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan menerusi keunikan budaya, tradisi serta keindahan alam semula jadinya.
Menurutnya, daerah itu menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi, selain tarikan pulau serta sungai.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud 2026.
Hajiji berkata, Kota Belud turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023, sekali gus memperlihatkan potensi daerah itu sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun merupakan antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Sabah.
Katanya, keunikan budaya, tradisi, makanan tempatan, kraftangan serta kehidupan masyarakat setempat mempunyai nilai tarikan tinggi kepada pelancong.
Malah, Tamu Besar Kota Belud turut diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sebagai acara berteraskan khazanah dan budaya yang penting dalam landskap pelancongan negeri.
Hajiji berkata, warisan berkenaan perlu terus dimanfaatkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat.
Usaha itu diharap dapat memastikan manfaat pertumbuhan sektor pelancongan turut dinikmati pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan serta penggiat kraftangan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kota Belud.
Inisiatif itu akan dilaksanakan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0. -DAKWAT RAKYAT POST
