RANAU: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi unsur hasutan mengajak orang ramai membakar kedai milik warga Pakistan di Ranau dan seluruh Malaysia.
Hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘Berita Harian Ranau’ itu dikesan pada 17 Oktober lalu dan dipercayai menarik perhatian ramai apabila menerima kira-kira 200 komen sebelum dipadam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya sempat mengambil tangkap layar hantaran berkenaan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, hantaran itu turut menggunakan tanda pagar #pdrm dan berpotensi menimbulkan ketakutan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Susulan itu, IPD Ranau membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mursalin berkata, polis memandang serius penyalahgunaan media sosial yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengendali dan pengguna media sosial supaya bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi sehingga melanggar undang-undang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau yang sentiasa peka dan memberikan kerjasama kepada polis dalam usaha memelihara keselamatan serta kesejahteraan awam.- DAKWAT RAKYAT POST
