TANAH MERAH: Anggota polis berpangkat koperal parah ditetak dengan parang ketika operasi antidadah di Kampung Lalang Pepuyu di sini, hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata anggota itu, 37, mengalami keretakan pada tangan kiri susulan kejadian jam 1.35 tengah hari itu dan kini menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Kejadian berlaku ketika anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan dengan bantuan anggota dari Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu, menyerbu sebuah rumah di kampung itu.
“Suspek lelaki tempatan berusia 30-an cuba melarikan diri sambil memegang sebilah parang.
“Anggota mengejar suspek, namun lelaki itu melibas parang sehingga mencederakan seorang anggota sebelum berjaya ditahan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, polis merampas parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil disyaki yaba dengan anggaran berat 0.1 gram serta sebotol cecair dipercayai air ketum.
“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Yusoff berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.
Kredit sumber: Berita Harian – Disiarkan pada 17 Oktober 2026
