KOTA KINABALU: Polis sedang menyiasat kesesuaian lokasi meletakkan kontena di bahu Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, susulan kejadian muatan berkenaan terjatuh menghempap sebuah kereta sehingga mengorbankan dua beranak, Ahad lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan turut meneliti sama ada kontena berkenaan diletakkan di kawasan itu secara sengaja atau disebabkan faktor lain yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, polis sedang mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain menilai aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan terbabit.
“Walaupun kontena diletakkan di tepi jalan, saiz dan ketinggiannya boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya serta menimbulkan risiko keselamatan.
“Selain itu, proses mengalihkan kontena menggunakan jentera berat juga berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan PDRM Kontinjen Sabah di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, pihaknya turut merancang mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan, termasuk pengurusan pelabuhan, bagi mencari penyelesaian terhadap isu lambakan kontena di tepi jalan.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara dan mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan pemandu lori treler berusia 49 tahun sudah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang Ahad lalu, Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, maut selepas Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.
Siasatan awal mendapati lori treler berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk mengangkat kontena dari bahu jalan ke atas treler sebelum muatan itu hilang keseimbangan lalu terjatuh menghempap kereta mangsa yang sedang melalui kawasan berkenaan.
Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba kira-kira jam 9.55 malam, selepas operasi menyelamat mengambil masa lebih tiga jam.
Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.-DAKWAT RAKYAT POST
