KUNAK: Seramai 12 remaja lelaki berusia antara 10 hingga 19 tahun ditahan dalam dua operasi berasingan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Padang Pekan Kunak yang tular di media sosial pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Rejali Angong, berkata pihaknya mengesan penularan video kejadian itu kira-kira jam 8 malam, memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di tempat awam di daerah berkenaan.
Menurutnya, rakaman itu tersebar menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp sebelum tindakan pengesanan dijalankan oleh pihak polis.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku di Padang Pekan Kunak.
“Kesemua yang ditahan berumur antara 10 hingga 19 tahun,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan operasi pengesanan sebelum menahan kesemua 12 remaja terbabit dalam dua operasi berasingan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video berdurasi 45 saat tular di media sosial, memaparkan insiden tumbuk-menumbuk yang dipercayai berlaku di sebuah padang berhampiran Pekan Kunak pada petang Ahad.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sehubungan itu, Rejali menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke IPD Kunak bagi membantu siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
