PAPAR: Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kogopon, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 167 meter persegi musnah sepenuhnya, manakala lapan kenderaan terdiri daripada lima kereta dan tiga motosikal turut terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 pagi sebelum sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.52 pagi dan mendapati rumah berkenaan sedang terbakar, dengan api turut merebak ke beberapa kenderaan berhampiran.
“Rumah yang dihuni tiga keluarga itu musnah 100 peratus, manakala tiga kereta turut musnah sepenuhnya.
“Dua lagi kereta masing-masing mengalami kerosakan akibat kebakaran sebanyak 20 dan 30 peratus, manakala tiga motosikal turut musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 60 meter dengan dua pancutan air daripada tangki jentera bomba.
Api berjaya dikawal pada jam 3.05 pagi sebelum pasukan bomba meneruskan kerja pemadaman sisa kebakaran bagi memastikan tiada lagi bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.15 pagi.-DAKWAT RAKYAT POST
