KOTA KINABALU: Seramai 169 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menerusi kira-kira 25 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tujuh daerah di negeri ini sepanjang 13 hingga 17 Oktober lalu.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata operasi berkenaan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Tenom dan Keningau bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Sepanjang tempoh berkenaan, seramai 530 individu diperiksa sebelum 169 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen.
Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 131 orang adalah warga Filipina, terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 39 wanita dewasa, 19 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan.
Warga Indonesia pula berjumlah 36 orang, membabitkan 14 lelaki dewasa, 15 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah dua lelaki dewasa warga Pakistan.
JIM Sabah akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM Sabah menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my -DAKWAT RAKYAT POST
