NABAWAN: Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis Nabawan dengan siling peruntukan RM150 juta dijangka bermula Januari 2027 bagi memperkukuh keupayaan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya di kawasan sempadan Sabah-Indonesia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek berkenaan merupakan pelaburan strategik kerajaan dalam meningkatkan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menambah baik penyampaian perkhidmatan keselamatan kepada rakyat.
Menurutnya, kedudukan strategik Nabawan yang bersempadan dengan Indonesia menuntut keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.
Katanya, ancaman berkenaan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu, berkesan dan berterusan, termasuk melalui pengukuhan aspek keanggotaan, infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran PDRM.
“Saya mahu projek ini dilaksanakan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan standard yang ditetapkan serta memberikan manfaat maksimum kepada rakyat dan warga PDRM.
“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis dan Perumahan Polis Daerah Nabawan, di sini, pada Selasa.
Hajiji berkata, Balai Polis Nabawan yang ditubuhkan sejak 1976 ketika ini masih berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, sedangkan daerah itu mempunyai keluasan kawasan pentadbiran kira-kira 6,089 kilometer persegi.
Justeru, katanya, pembangunan IPD baharu itu merupakan langkah penting untuk mewujudkan struktur kepolisan yang lebih tersusun, sekali gus memperkukuh kehadiran dan keupayaan perkhidmatan keselamatan di kawasan berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan infrastruktur yang kondusif serta dilengkapi kemudahan teknologi terkini amat penting, terutama bagi menyokong pelaksanaan tugas anggota keselamatan di kawasan sempadan.
Menurutnya, projek berkenaan turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan anggota pasukan barisan hadapan.
“Kebajikan anggota PDRM juga perlu terus diberikan perhatian. Mereka berada di barisan hadapan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Justeru, penyediaan kemudahan kerja dan perumahan yang baik merupakan antara aspek penting dalam menyokong kebajikan serta keberkesanan tugas mereka,” katanya.
Hajiji berkata, keselamatan merupakan antara asas penting kepada pembangunan negeri kerana pertumbuhan ekonomi yang mampan memerlukan persekitaran yang aman, stabil dan selamat.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan di seluruh Sabah, termasuk memastikan masyarakat di kawasan pedalaman seperti Nabawan mendapat akses kepada perkhidmatan keselamatan yang lebih baik.
Katanya, pembangunan IPD Nabawan bukan sahaja memenuhi keperluan operasi PDRM, malah penting dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di kawasan mereka.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid bin Haji Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; dan Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.-DAKWAT RAKYAT POST
